Cerita di bawah membuat saya berfikir sejenak....
Ada seorang ahli perniagaan sedang duduk bersantai di pantai di perkampungan kecil di sebuah pulau tempat beliau bercuti. Sedang dia bersantai, dia melihat seorang nelayan di dalam perahu kecil sedang mendayung kearah tebing pantai. Beliau mendapati nelayan itu berjaya menangkap banyak sekali ikan-ikan yang besar dan mempunyai harga di pasaran.
Ahli perniagan itu sangat kagum dan bertanya kepada nelayan itu, "Berapa lama yang kau ambil untuk menangkap ikan sebegini banyak?" Nelayan itu menjawab, "Oh, hanya sekejap saja." "Kenapa kau tidak tunggu lebih lama di laut supaya kau boleh menangkap lebih banyak lagi" tanya ahli perniagaan itu lagi. Nelayan itu menggeleng-gelengkan kepalanya, "Ini pun sudah cukup untuk menyara seluruh keluarga saya," katanya.
Ahli perniagaan itu kemudian bertanya, "Jadi, apa yang anda lakukan sepanjang hari?" Nelayan itu menjawab, "Oh, Saya biasanya bangun di waktu subuh, pergi keluar ke laut dan menangkap ikan, lepas tu saya akan pulang dan bermain dengan anak-anak saya. Ketika tengah hari, saya akan tidur bersama-sama dengan isteri saya, dan apabila petang menjelma, saya akan berkumpul dengan rakan-rakan di kampung sambil minum-minum, bermain gitar, menyanyi dan menari sepanjang malam. Hari- hari saya cukup lengkap dan bebas."
Ali perniagaan itu tidak bersetuju dengan cara hidup nelayan itu dan memberi satu cadangan kepada nelayan itu,"Saya mempunyai kelulusan Sarjana Perniagaan dari Universiti terkemuka di ibukota. Saya boleh bantu kau menjadi orang yang lebih berjaya. Mulai saat ini, kau harus menghabiskan lebih banyak masa di laut untuk menangkap ikan sebanyak mana yang boleh. Kau boleh jual ikan-ikan itu dan menyimpan wang hasil jualannya. Apabila sudah banyak yang kau telah simpan, kau bolehlah beli sebuah bot yang lebih besar dan menangkap lebih banyak lagi ikan. Kau teruskan usaha ini dan kau akan dapat membeli banyak lagi bot-bot yang baru, mengambil lebih banyak nelayan dan kau akan jadi ketuanya. Lepas itu kau akan dapat menubuhkan syarikat sendiri dengan mempunyai kilang pengeluaran untuk makanan laut dalam tin dan menjual terus kepada pengedar. Pada masa itu, kau akan berpindah keluar dari kampung ini dan pergi ke pekan, lepas tu meluaskan operasi ke pusat bandar di negeri ini dan akhirnya ke ibu negara, di mana kau boleh menubuhkan ibu pejabat untuk mengurus semua cawangan syarikat anda."
Si nelayan bertanya,"Jadi, berapa lama yang perlu diambil?" Jawab ahli perniagaan itu, " 15 ke 20 tahun begitu." Si nelayan menyambung, "Dan lepas tu?" Ahli perniagaan itu menjawab dengan ketawa kecil, " Lepas tu kau boleh hidup macam raja di dalam rumah kau sendiri dan kalau sampai masa yang sesuai, kau jadikan syarikat kamu sebagai syarikat awam berhad supaya kau boleh apungkan saham kamu dalam pasaran saham. Dengan itu kau bertambah kaya, pendapatan kamu berjuta-juta ringgit!"
Si Nelayan bertanya lagi, "Dan lepas tu?" Ahli perniagaan menjawab, "Lepas tu, kau akhirnya boleh bersara, kau boleh berpindah untuk tinggal di perkampungan tepi pantai, bangun waktu subuh dan menangkap sedikit ikan, kemudian pulang untuk bermain dengan anak-anak, tidur bersama dengan isteri di tengahari, dan apabila petang menjelang, kau bolehlah menyertai rakan-rakan kamu untuk minum, bermain gitar, bernyanyi dan menari sepanjang malam!"
Si Nelayan kelihatan bingung, "Bukankah itu yang saya sedang nikmati sekarang?"
Diterjemahkan dari bahasa inggeris oleh saya dari cerita yang saya pernah baca di internet (Tidak ingat siapa yang punya cerita).
Pikirlah sendiri moral disebalik cerita ini.